Gempa bumi: Rakyat Afghanistan bagai jatuh ditimpa tangga

Gempa bumi: Rakyat Afghanistan bagai jatuh ditimpa tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Jutaan penduduk Afghanistan bagai jatuh ditimpa tangga. Bukan sahaja dibelenggu krisis ekonomi yang melarat, akses terhad keperluan asas dan kemudahan perubatan, kali ini penduduk dilanda gempa bumi kuat yang berlaku dalam tempoh panjang.  

Gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter yang melanda Afghanistan awal pagi semalam, dilaporkan melanda penduduk di bahagian timur sehingga dapat dirasakan oleh negara jiran, Pakistan. 

Tragedi tersebut meragut lebih 1,000 nyawa setakat petang semalam, serta ratusan penduduk lain mengalami kecederaan.  

Jumlah mangsa dijangka meningkat selepas pegawai menerima maklumat dari perkampungan di pergunungan terpencil Afghanistan.  

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi itu berlaku kira-kira 44 kilometer (km) dari bandar Khost, berhampiran sempadan Pakistan.

Laman web Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC) menetapkan magnitud gempa bumi itu adalah 6.1, walaupun USGS melaporkan 5.9 skala Richter.  

EMSC melalui Twitternya memaklumkan, gegaran itu turut dirasakan kira-kira 119 juta penduduk di Pakistan, Afghanistan dan India.

Setakat petang semalam, tiada laporan yang diterima berhubung kerosakan atau kematian di Pakistan.

KEDIAMAN MUSNAH 

Wartawan tempatan, Ali M Latifi berkata, orang ramai sehingga penduduk di ibu negara Afghanistan dapat merasakan gegaran susulan.

Bidikan gambar oleh media Afghanistan menunjukkan ratusan rumah musnah ditimpa runtuhan, manakala, mayat ditutup dengan selimut di atas tanah. 

Wartwan dan penulis politik, Hedayatullah Paktin berkata, kebanyakan rumah di rantau itu dibina secara tradisional menggunakan tanah, batu dan bahan lain. 

Jelasnya, struktur rumah yang dibina daripada konkrit adalah jarang ditemukan. 

Sementara itu, Pegawai Kementerian Dalam Negeri, Salahuddin Ayubi berkata, sebahagian besar kematian yang disahkan adalah di wilayah Paktika di timur Afghanistan, dengan 255 terbunuh dan lebih 200 cedera.

Katanya, di wilayah Khost, 25 terbunuh dan 90 dibawa ke hospital.

“Jumlah kematian mungkin meningkat kerana beberapa kampung berada di kawasan terpencil di pergunungan yang akan mengambil sedikit masa untuk mengumpul perinciannya. 

“Pihak berkuasa melancarkan operasi menyelamat dan helikopter digunakan untuk membawa mangsa yang cedera serta mengambil bekalan perubatan dan makanan,” katanya.-AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN