Empat lelaki didakwa atas kematian 53 pendatang dalam treler - Utusan Malaysia

Empat lelaki didakwa atas kematian 53 pendatang dalam treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Empat lelaki didakwa atas kes kematian membabitkan 53 pendatang terperangkap di dalam treler yang ditinggalkan dalam panas terik di San Antonio, Texas.

Memetik laporan Xinhua, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memaklumkan pemandu treler yang dikenali sebagai Homero Zamorano Jr., 45, didakwa atas tuduhan pemerdagangan manusia sehingga menyebabkan kematian.

Media tempatan melaporkan Zamorano Jr. mempunyai banyak rekod jenayah sejak 1990an.

Christian Martinez, 28, yang ditahan di Palestine, Texas didakwa atas satu pertuduhan konspirasi untuk membawa pendatang tanpa izin sehingga menyebabkan kematian.

Jelas DoJ menerusi kenyataan, siasatan mendapati komunikasi berlaku antara Zamorano Jr. dan Martinez mengenai aktiviti pemerdagangan itu.

“Jika sabit kesalahan, Zamorano Jr. dan Martinez boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau dikenakan hukuman mati,” lapor CNN.

Selasa lalu, dua warga Mexico yang dikaitkan dengan tragedi itu didakwa di mahkamah persekutuan AS.

Menurut dokumen mahkamah dan pihak berkuasa AS, suspek yang dikenal pasti sebagai Juan Francisco D’Luna-Bilbao dan Juan Claudio D’Luna-Mendez didakwa atas tuduhan memiliki senjata api ketika menetap di AS secara haram.

Isnin lalu, polis menahan mereka di alamat San Antonio yang disenaraikan dalam pendaftaran kenderaan treler itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Imigresen Kebangsaan Mexico, Francisco Garduno Yanez berkata, treler dengan plat palsu itu membawa 67 pendatang ketika ditemukan pada Isnin lalu.

Menurut seorang pegawai, treler itu dibiarkan sebelah landasan kereta api ketika suhu meningkat sehingga 39.4 Celsius.

Katanya, tiada tanda air atau alat penyaman udara yang berfungsi dalam trak tersebut.

Jelas beliau, mangsa yang ditemukan hidup mengalami strok haba dan keletihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN