KABUL: Dua orang maut dan beberapa lagi terperangkap di sebuah rumah ibadat Sikh di ibu negara Afghanistan, selepas dua letupan menggegarkan bandar itu pada pagi tadi.
Lapor NDTV, letupan itu berlaku berhampiran pintu pagar Gurdwara Pita Sahib Ji, Karte Parwan di Kabul.
Jurucakap Kementerian dalam Negeri Afghanistan, Abdul Nafi Takour berkata, dua mangsa maut terdiri daripada penganut Sikh dan pengawal warga Afghanistan.
Menurut sumber, beberapa penganut Sikh berada di gurdwara ketika kejadian.
Malah, katanya, ada yang berjaya melarikan diri dan beberapa lagi dikejarkan ke hospital berdekatan selepas kejadian itu.
Bagaimanapun, jumlah mangsa maut atau cedera dalam gurdwara belum dapat dipastikan lagi.
Sementara itu, agensi berita Xinhua melaporkan, tiga anggota keselamatan cedera dalam letupan tersebut.
Berdasarkan laporan awal, sekumpulan lelaki bersenjata dikatakan menyerbu dan memasuki rumah ibadat itu dengan pasukan keselamatan cuba menahan penyerang.
Rakaman video dimuat naik dalam media sosial menunjukkan kepulan asap daripada bangunan dua tingkat dikelilingi tembok itu runtuh akibat dibom.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi mengenai kejadian itu dikeluarkan. – AGENSI