China sokong Russia, AS mula gelabah

China sokong Russia, AS mula gelabah

VLADIMIR PUTIN (kiri) dan Xi Jinping bergambar semasa mengadakan pertemuan di Beijing, Februari lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Propaganda Washington untuk memburukkan Moscow di mata dunia akhirnya gagal selepas Presiden China, Xi Jinping memberi jaminan untuk memberikan sokongan kepada ‘kedaulatan dan keselamatan’ Rusia.  

Situasi itu menyebabkan Washington tidak senang duduk dan memberi amaran Beijing berisiko berada pada ‘pihak yang salah dalam sejarah’. 

China sebelum ini enggan mengutuk operasi ketenteraan khas Moscow di Ukraine dan dituduh memberikan perlindungan diplomatik bagi Russia dengan mengutuk sekatan ekonomi oleh Barat dan penjualan senjata kepada Kyiv. 

Difahamkan, Jinping semasa menghubungi Putin secara ‘sukarela menawarkan sokongan bersama kepada Russia dalam isu berkaitan kepentingan teras dan kebimbangan utama seperti kedaulatan dan keselamatan’. 

Sejak konflik di Ukraine tercetus 24 Februari lalu, Jinping dilaporkan sudah dua kali menghubungi Putin.

CCTV melaporkan, Jinping memuji ‘momentum pembangunan yang baik’ dalam hubungan dua hala sejak awal tahun ‘dalam menghadapi kegawatan dan perubahan global’. 

Beijing bersedia ‘memperhebatkan penyelarasan strategik antara kedua-dua negara’. 

Kremlin mengumumkan kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan kerjasama ekonomi dalam menghadapi sekatan Barat yang ‘melanggar undang-undang’. 

Beijing dan Moscow bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam bidang tenaga, kewangan, perindustrian dan pengangkutan dengan mengambil kira keadaan ekonomi global yang menjadi lebih rumit akibat dasar sekatan yang menyalahi undang-undang Barat. 

AS GELABAH  

Jurucakap Jabatan Negara AS mempertikaikan keputusan China yang mendakwa berkecuali, tetapi tingkah lakunya menjelaskan negara itu masih melabur dan menjalin hubungan rapat dengan Russia. 

Washington ‘memantau aktiviti China dengan teliti’ termasuk bagaimana hampir empat bulan selepas perang Russia di Ukraine, gergasi Asia itu ‘masih melaungkan propaganda Russia di seluruh dunia’ serta menghalalkan tindakan Moscow di Ukraine. 

“Negara-negara yang berpihak kepada Putin pasti akan menyedari mereka berada di sisi sejarah yang salah,” jelasnya. 

HUBUNGAN AKRAB 

Barat mengguna pakai sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Russia sebagai tindak balas terhadap operasi di Ukraine. 

Moscow pula menuduh Eropah dan AS punca sebenar kelembapan ekonomi global. 

Moscow juga sedang mencari pasaran dan pembekal baharu bagi menggantikan firma asing utama yang meninggalkan Russia berikutan pencerobohan itu. 

Kesatuan Eropah dan AS memberi amaran sebarang sokongan dari Beijing kepada Russia atau bantuan Moscow untuk mengelak sekatan Barat akan merosakkan hubungan. 

China dan India adalah dua ekonomi utama yang tidak mengambil bahagian dalam tindak balas terhadap Moscow. 

Hubungan Beijing dan Moscow semakin rapat dan bagaikan ‘tiada batas’ dalam bidang politik, perdagangan dan ketenteraan. 

Beijing adalah rakan dagangan terbesar Moscow dengan jumlah dagangan tahun lalu mencecah AS$147 bilion (RM600 bilion), menurut data kastam China.-AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN