China sedia `mulakan perang' dengan Taiwan   - Utusan Malaysia

China sedia `mulakan perang’ dengan Taiwan  

LLOYD J Austin bersama Menteri Pertahanan China,Wei Fenghe di Sidang Kemuncak Keselamatan Dialog Shangri La di Singapura. - TWITTER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe menegaskan Beijing `tidak teragak-agak untuk memulakan perang’ sekiranya Taiwan mahu mengisytiharkan kemerdekaan. 

Amaran itu dibuat kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd J Austin ketika dua pemimpin itu mengadakan pertemuan bersemuka di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Dialog Shangri La di Singapura.

Fenghe menegaskan tentera China sedia memulakan perang sekiranya ada pihak berniat memisahkan Taiwan dari republik itu.

Malah, Fenghe berikrar bahawa Beijing juga akan ‘menghancurkan mana-mana plot kemerdekaan Taiwan dan bertegas untuk menegakkan penyatuan tanah air’. 

“Fenghe menegaskan Taiwan adalah milik China dan menggunakan pulau itu untuk menyekat China tidak akan berlaku sama sekali,” kata jurucakap kementerian pertahanan, Wu Qian yang memetik kenyataan Fenghe berkata semasa mesyuarat berkenaan.  

Ancaman China ke atas Taiwan semakin memuncak selama bertahun-tahun.

Dua negara itu ditadbir secara berasingan sejak Nasionalis berundur ke Taiwan pada akhir perang saudara China pada 1949.

Taiwan kini merupakan sebuah negara demokrasi yang berkembang pesat namun Parti Komunis China (PKC) yang memerintah di tanah besar itu menganggap Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya.

Taiwan berdepan tekanan ketenteraan dan politik untuk menerima pemerintahan China.

* AS TERUS SOKONG SEKUTU 

Austin ketika berucap di sidang kemuncak itu mengecam aktiviti ketenteraan China yang bersifat `provokatif dan tidak stabil’ berhampiran Taiwan.

Beliau berkata, AS akan melakukan segala mungkin untuk mengurangkan ketegangan dengan China dan mencegah konflik walaupun Beijing menjadi semakin agresif di wilayah Asia Pasifik.

Malah, Austin menegaskan AS akan terus menyokong semua sekutunya termasuk Taiwan.

“Ia amat penting kerana China menggunakan pendekatan lebih memaksa dan agresif terhadap tuntutan wilayah,” katanya.

Jelas beliau, terdapat peningkatan yang semakin membimbangkan dalam jumlah pertemuan antara pesawat dan kapal milik China dengan kapal negara lain. 

* DASAR AS TERHADAP TAIWAN MASIH SAMA

Selain itu, Austin juga menegaskan AS komited terhadap `perintah antarabangsa berasaskan peraturan’ dan akan bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Menurut beliau, dasar AS ke atas Taiwan, sebuah pulau yang diperintah sendiri, adalah masih sama.

“Dasar kami tidak pernah berubah, tetapi malangnya ia tidak kelihatan sama untuk China.

“Tindakan China menjejaskan keamanan dan kestabilan. Itu bukan kepentingan AS sahaja tetapi masalah kebimbangan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Austin sekali lagi menyuarakan kebimbangan mengenai pendekatan Beijing yang semakin tegas di Laut China Timur dan Laut China Selatan.

Beliau menegaskan AS akan mengekalkan `kehadirannya secara aktif’ di seluruh Asia Pasifik.

“Kami akan melakukan penerbangan, belayar, beroperasi di mana-mana sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa.

“AS akan melakukannya bersama rakan kongsi kami. Saya ingin menjelaskan bahawa kami tidak mencari sebarang konfrontasi mahupun konflik.

“Kami tidak membangkitkan Perang Dingin baharu, NATO Asia atau kekacauan di wilayah tetapi AS akan mempertahankan kepentingannya,” katanya.

* HENTI GANGGU TAIWAN

Sementara itu, Jabatan Pertahanan AS menerusi kenyataan selepas rundingan itu memaklumkan Austin menggesa China berhenti daripada melakukan tindakan yang menjejaskan kestabilan Taiwan.

Austin turut menegaskan semula kepentingan keamanan dan kestabilan merentasi Selat (Taiwan) dan penentangan terhadap perubahan unilateral kepada status quo harus dipelihara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN