SINGAPURA: Sekalipun unjuran awal meramalkan kekurangan bekalan durian dari Malaysia yang mungkin akan menyebabkan harga durian meningkat, hasil tanaman yang luar biasa banyaknya serta persaingan sengit antara peniaga menyebabkan harga durian turun sebanyak S$7 (RM22) sekilogram.
Enam daripada tujuh peniaga yang ditemu bual oleh Mediacorp baru-baru ini menyatakan mereka sudah menurunkan harga untuk memikat lebih ramai pelanggan.
Zen Ho, pengurus Durian Empire di Punggol mengatakan bahawa cuaca yang lebih baik di Johor sepanjang dua minggu lalu menyumbang kepada hasil tanaman yang luar biasa banyaknya.
Pada masa yang sama, durian dari Pahang juga sudah tiba lebih awal dari biasa.
“Kami fikir bekalan durian dari Pahang akan tiba pada Julai tetapi hujan di sana menyebabkan durian gugur lebih awal. Sekalipun masih ada kekurangan durian yang dihantar dari Pahang, masih ada yang dibawa masuk ke Singapura. Pada masa yang sama, durian juga dihantar dari Johor. Ini menyebabkan lebih banyak bekalan durian secara keseluruhannya,” katanya.
Dengan bekalan yang berlebihan ini, para pembekal memutuskan untuk menurunkan harga dan Zen Ho menjualnya pada harga yang lebih rendah kepada pelanggannya.
Mao Shan Wang, iaitu sejenis baka durian yang popular, biasanya akan dijual pada harga lebih S$25 (RM79) sekilogram.
Namun Zen Ho memaklumkan dia akan menjualnya pada harga antara S$18 (RM56) dengan S$21 (RM66), bergantung kepada pembekalnya dalam masa dua minggu akan datang.
Di Toa Payoh, empat penjual durian memberitahu Mediacorp bahawa persaingan sengit memaksa para penjual untuk menurunkan harga.
“Kami baru sahaja membuka gerai untuk musim ini, jadi kami terpaksa menjual pada harga yang lebih rendah untuk memikat pelanggan,” kata Steph Wang dari kedai Evergreen 178.
Ang Ka Seang, pengurus Hong Heng Fruit Trading, yang menjual tiga biji durian pada harga serendah S$10 (RM31) berkata, persaingan kini lebih sengit kerana orang ramai boleh pergi ke Malaysia untuk membeli durian pada harga lebih murah.