SINGAPURA: Peniaga ayam di republik ini terpaksa menaikkan harga ayam kampung kira-kira tiga dolar Singapura (RM9.50) sekilogram selepas dibenarkan menjual bekalan itu.
Langkah itu selepas Malaysia menarik balik larangan eksport ayam kampung dan ayam hitam ke Singapura sejak 14 Jun lalu.
Memetik laporan Channel News Asia (CNA), peniaga berkata, kenaikan harga itu disebabkan peningkatan kos dari pembekal ayam.
Berdasarkan tinjauan CNA di pasar 448 di Clementi, dua peniaga didapati menjual ayam kampung dan ayam hitam.
“Saya terpaksa menjual pada harga tinggi kerana pembekal saya juga menaikkan kos, bagaimana saya mahu menjual murah sekiranya perkara seperti ini berlaku.
“Ramai yang merungut kerana ia sangat mahal namun pelanggan yang mahu ayam segar masih membelinya,” kata seorang peniaga dikenali sebagai Tan.
Jun lalu, Malaysia menghentikan eksport ayam ke Singapura sebagai usaha untuk mengawal harga dan bekalan ayam di negara.
Sejak itu, Singapura mengalami kekurangan bekalan ayam segar, namun pembeli dan penjual beralih menggunakan ayam beku.
Seorang lagi peniaga dikenali sebagai Ma berkata, harga ayam sudah meningkat kepada sekitar 10 dolar Singapura (RM31.62) sekilogram berbanding lapan dolar Singapura (RM25.29) pada bulan Mei sebelum larangan eksport ayam dilaksanakan.
Katanya, ketika ini, harga ayam kampung boleh mencecah sehingga 19 dolar Singapura (RM60.10) seekor, bergantung pada beratnya.
Sementara itu, tinjauan CNA di pasar Tiong Bahru pula mendapati, beberapa peniaga menjual ayam kampung pada harga kira-kira 14 dolar Singapura (RM44.26) sekilogram, berbanding 11 dolar Singapura (RM34.78) sebelum ini.










