41 maut, jutaan terkandas akibat banjir di Bangladesh, India - Utusan Malaysia

41 maut, jutaan terkandas akibat banjir di Bangladesh, India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYLHET: Ribut monsun melanda Bangladesh dan India mengorbankan sekurang-kurangnya 41 orang dan mencetuskan banjir besar sehingga menyebabkan jutaan penduduk terkandas.

Banjir menjadi ancaman biasa kepada jutaan penduduk yang tinggal di dataran rendah di Bangladesh, namun pakar berpandangan perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan ketidakpastian cuaca sejak kebelakangan ini.

Hujan tanpa henti menyebabkan sebahagian besar kawasan timur laut Bangladesh dilanda banjir dan anggota tentera dikerahkan bagi menyelamatkan penduduk yang terjejas.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 21 orang maut dipanah petir di sekitar negara Asia Selatan sejak petang semalam.

Ketua polis Mizanur Rahman berkata, antara mangsa maut termasuk tiga kanak-kanak berusia antara 12 hingga 14 tahun di pekan Nandail.

Selain itu, inspektor Nurul Islam berkata, empat lagi mangsa maut akibat kejadian tanah runtuh di bandar pelabuhan Chittagong.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Conrad Sangma menerusi Twitter mengesahkan sekurang-kurangnya 16 orang maut sejak di Meghalaya, India.

Di Assam pula, lebih 1.8 juta penduduk terjejas akibat banjir selepas dilanda hujan lebat tanpa henti selama lima hari.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Kerajaan wilayah Sylhet, Mosharraf Hossain berkata, banjir bertambah buruk di kawasan itu sejak awal pagi tadi.

“Keadaan teruk di sini, lebih empat juta penduduk terkandas akibat banjir,” katanya.

Hossain berkata, bekalan elektrik terputus di hampir seluruh wilayah itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN