KYIV: Mahkamah Ukraine menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang komander kereta kebal Rusia kerana membunuh orang awam.
Hukuman itu dijatuhkan semasa perbicaraan jenayah perang pertama sejak pencerobohan Rusia di Ukraine, 24 Februari lalu.
Tertuduh, Sarjan Vadim Shishimarin, 21, didapati bersalah membunuh Oleksandr Shelipov, 62, di perkampungan timur laut Chupakhivka, 28 Februari lalu.
Lelaki itu mengaku menembak mangsa dan bertindak atas arahan pihak atasan.
Hakim Serhiy Agafonov berkata, Shishimarin melaksanakan ‘perintah jenayah’ daripada seorang tentera berpangkat lebih tinggi.
“Memandangkan perbuatan yang dilakukan adalah jenayah terhadap keamanan, keselamatan, kemanusiaan dan perintah undang-undang antarabangsa, mahkamah tidak melihat kemungkinan untuk menjatuhkan hukuman penjara lebih pendek,” katanya.
Walaupun hukuman tersebut tidak membawa kepada perubahan segera taktik pasukan penceroboh, tetapi ia membawa keadilan kepada balu mangsa, Kateryna Shelipova.
Ukraine berusaha menyiasat lebih banyak lagi dakwaan jenayah perang yang dilakukan tentera Russia.
Moscow berulang kali menafikan tenteranya menyasarkan orang awam, sementara Ukraine mendedahkan lebih 11,000 jenayah perang berlaku di negara itu.-BBC