MINSK: Sebuah mahkamah di Belarus menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun ke atas Sofia Sapega, teman wanita kepada blogger Roman Protasevich.
Menurut Viasna Human Rights Center, Sapega, 24, dijatuhkan hukuman tersebut atas kesalahan mencetuskan kebencian awam.
Sapega ditahan selepas pesawat yang dinaiki dipaksa mendarat di Belarus tahun lalu.
Ketika itu, Sapega bersama teman lelakinya dalam perjalanan dari Athens, Greece, ke Vilnius, Lithuania sebelum dilencongkan ke Minsk oleh pihak berkuasa Belarus.
Belarus mendakwa penerbangan itu dilencongkan atas alasan ancaman bom yang kemudiannya disahkan sebagai palsu dan kedua-dua pasangan itu ditahan serta-merta.
Keputusan mahkamah itu menerima kecaman pelbagai pihak antaranya ketua pembangkang Belarus, Sviatlana Tsikhanouskaya.
“Saya bersimpati terhadap Sofia dan keluarganya. Tiada sesiapa patut menderita daripada kepimpinan diktator,” katanya.









