GENEVA: Syarikat penjagaan kesihatan multinasional Switzerland, Roche membangunkan tiga kit ujian bagi mengesan virus cacar monyet.
Roche dalam kenyataan memaklumkan syarikat itu dan anak syarikatnya, TIB Molbiol membangunkan tiga kit ujian LightMix Modular Virus.
Jelasnya, kit ujian itu mampu mengesan orthopoxvirus termasuk semua virus cacar monyet daripada kedua-dua virus di barat Afrika dan tengah Afrika.
“Kit kedua khusus untuk mengesan virus cacar monyet sahaja.
“Kit ketiga pula berupaya mengesan orthopoxviruses serta memberikan maklumat sama ada virus cacar monyet dikesan atau sebaliknya secara serentak,” katanya.
Cacar monyet pertama kali dikesan ke atas monyet makmal pada 1958 dan dianggap menular daripada haiwan liar seperti tikus kepada manusia atau daripada manusia kepada manusia.
Agensi wabak Kesatuan Eropah (EU) merekodkan jumlah jangkitan cacar monyet di seluruh dunia meningkat kepada 219 kes.-AGENSI










