COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengisytiharkan darurat buat kali kedua dalam tempoh lima minggu di negara itu.
Langkah itu sekaligus memberi kuasa mutlak kepada pasukan keselamatan untuk membendung protes anti kerajaan ketika tunjuk perasaan berterusan di seluruh negara mendesak peletakan jawatan pemimpin tertinggi itu.
Menurut seorang jurucakap presiden, undang-undang ketat dikenakan bagi `memastikan ketenteraman awam’ selepas premis perniagaan ditutup dan pengangkutan awam terhenti dengan kesatuan sekerja menyalahkan Rajapaksa atas krisis ekonomi sehingga mencetuskan keadaan huru hara di negara itu.
Terdahulu, polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan pelajar yang cuba menyerbu Parlimen bagi menuntut Rajapaksa meletak jawatan.
Perintah darurat itu memberi kuasa penuh kepada pasukan keselamatan untuk menangkap dan menahan penunjuk perasaan tanpa pengawasan kehakiman.
Ia juga membenarkan pasukan tentera dikerahkan untuk menjaga ketenteraman awam selain polis.
“Presiden menggunakan kuasa eksekutifnya untuk mengisytiharkan perintah darurat bagi memastikan ketenteraman awam.
“Undang-undang (darurat) itu berkuat kuasa tengah malam Jumaat,” katanya.
Sebelum ini, Rajapaksa mengisytiharkan darurat pertama pada 1 April lalu, sehari selepas ribuan penunjuk perasaan cuba menyerbu kediamannya di ibu negara.
Darurat itu luput pada 14 April lalu namun protes masih berterusan sejak itu. – AFP










