Silap terima RM1.57j, lelaki habiskan berjudi - Utusan Malaysia

Silap terima RM1.57j, lelaki habiskan berjudi

DANA bantuan Covid-19 berjumlah RM1.57 juta bagi membantu 463 isi rumah berpendapatan rendah di bandar Abu, wilayah Yamaguchi. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Seorang lelaki di Jepun yang tersilap menerima dana bantuan Covid-19 berjumlah 46.3 juta yen (RM1.57 juta), mengaku menghabiskan semua wang itu dengan berjudi dalam masa dua minggu.

Lapor The Guardian, lelaki berusia 24 tahun yang namanya tidak didedahkan, menerima wang tersebut bulan lalu.

Dana bantuan Covid-19 berjumlah 46.3 juta yen (RM1.57 juta) diperuntukkan membantu seramai 463 isi rumah berpendapatan rendah di bandar Abu di wilayah Yamaguchi.

Ia merupakan sebahagian program kerajaan tempatan dalam membantu penduduk yang mengalami masalah kewangan akibat pandemik Covid19.

Namun, pihak berkuasa bandar Abu secara tidak sengaja memindahkan kesemua dana berkenaan ke akaun lelaki tersebut.

“Daripada menghantar wang 100,000 yen (RM3,401) kepada setiap keluarga, kerajaan tempatan tersilap memindahkan kesemua dana diperuntukkan untuk 463 isi rumah berpendapatan rendah ke akaun bank lelaki itu.

“Selepas pegawai tempatan menyedari kesilapannya, mereka memfailkan saman terhadap lelaki itu meminta memulangkan semula semua wang berkenaan termasuk yuran guaman,” lapor media Jepun.

Lelaki itu pada mulanya bersetuju untuk memulangkan wang tersebut namun kemudian mendakwa ia sudah ‘dipindahkan’ dari akaunnya.

Rekod bank menunjukkan lelaki itu sudah mengeluarkan semua wang terbabit dari akaunnya antara 8 hingga 21 April lalu.

Peguam mewakili lelaki itu berkata, anak guamnya sudah membelanjakan semua wang tersebut dengan berjudi dalam talian menggunakan telefon bimbitnya.

Justeru, menurut peguam, anak guamnya mungkin tidak dapat memulangkan wang tersebut kerana dia tidak memiliki sebarang aset.

Sementara itu, Datuk Bandar Abu, Norihiko Hamada menyifatkan tindakan lelaki berkenaan sebagai perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Kata beliau, pihaknya akan melakukan sebaik mungkin untuk mendapatkan semula semua wang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN