MOSCOW: Russia menegaskan tidak bercadang untuk menamatkan perang dengan Ukraine pada Hari Kemenangan iaitu 9 Mei ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Sergei Lavrov ketika Russia menandakan ulang tahun kemenangan terhadap tentera Nazi semasa Perang Dunia Kedua, yang disambut pada 9 Mei.
Lapor Al Jazeera, Lavrov menerusi temubual bersama media Itali, Mediaset menegaskan Moscow tidak akan tergesa-gesa mengakhiri `operasi ketenteraan khas’ sebelum hari tersebut.
“Tentera kami tidak akan mengatur semula tindakan mereka untuk menamatkan operasi pada tarikh tertentu termasuk Hari Kemenangan.
“Operasi di Ukraine bergantung kepada keperluan untuk meminimumkan sebarang risiko terhadap penduduk awam dan anggota tentera Russia,” katanya.
Ribuan orang awam terbunuh dan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal akibat pencerobohan Russia yang bermula pada 24 Februari lalu.
Moscow mendakwa lebih 1,000 anggota tentera terkorban dalam operasi tersebut.