MOSCOW: Russia mengarahkan diplomat dari Perancis, Itali dan Sepanyol meninggalkan negara itu sebagai tindak balas terhadap pengusiran diplomatnya dari negara Eropah tersebut.
Pengusiran diplomat Russia itu merupakan sebahagian tindakan bersama Eropah susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Memetik laporan Al Jazeera, kementerian luar memaklumkan pihaknya mengusir 34 kakitangan misi diplomatik Perancis di Russia dan memberikan tempoh dua minggu untuk meninggalkan negara.
“Keputusan itu diumumkan selepas kami memanggil Duta Perancis ke Russia, Pierre Levy dan mengecam tindakan pengusiran 41 kakitangan misi diplomatik Moscow sebagai provokatif dan tidak berasas,” jelas kementerian.
Menurut kementerian, seramai 27 kakitangan kedutaan Sepanyol di Moscow dan Konsulat Jeneral Sepanyol di Saint Petersburg diisytiharkan persona non grata dan diberikan masa tujuh hari untuk meninggalkan negara.
Jelas kementerian, pihaknya memaklumkan kepada Duta Sepanyol, Marcos Gomez Martinez bahawa pengusiran diplomat Russia dari Madrid akan memberi kesan negatif terhadap hubungan Russia-Sepanyol.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova mengesahkan laporan media bahawa 24 diplomat Itali diminta meninggalkan negara itu.
Pengusiran 24 diplomat Itali itu membabitkan ahli perwakilan diplomatik dan konsular serta dari pejabat Agensi Perdagangan negara itu.