Rumah keluarga Rajapaksa dibakar - Utusan Malaysia

Rumah keluarga Rajapaksa dibakar

RUMAH salah seorang ahli politik parti pemerintah terbakar akibat diserang perusuh di Sri Lanka. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Rumah keluarga milik bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dan Presiden Gotabaya Rajapaksa di Medamulana, Hambantota terbakar akibat diserang perusuh.

Memetik laporan Colombo Gazette, sekumpulan penunjuk perasaan antikerajaan bertindak membakar rumah pemimpin itu baru-baru ini ketika rusuhan ganas tercetus di seluruh Sri Lanka.

Kediaman dan premis perniagaan milik beberapa ahli politik dari parti pemerintah turut dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah dengan krisis ekonomi terburuk Sri Lanka sejak kemerdekaan negara itu pada 1948.  

Dilaporkan, rumah ahli politik Dr. Ramesh Pathirana, Sanath Nishantha, Nimal Lanza dan Kanchana Wijesekera diserang atau dibakar.

Malah, beberapa harta benda termasuk kereta dan jip milik ahli politik parti pemerintah lain turut diserang oleh kumpulan penunjuk perasaan.

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan, pihak berkuasa Sri Lanka mengarahkan pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan terhadap mana-mana individu yang mencetuskan kekecohan bagi memburukkan situasi tegang di negara itu

Keputusan itu dibuat selepas polis dan tentera diberi kuasa untuk menahan semua yang terlibat tanpa memerlukan waran tangkap.  

Tindakan kekerasan itu juga tidak mustahil melibatkan tembakan dilepaskan ke arah penunjuk perasaan.

“Pasukan keselamatan diarahkan untuk bertindak  bertindak terhadap mana-mana individu yang didapati merompak harta awam atau membahayakan nyawa,” kata Kementerian Pertahanan.

Ribuan penunjuk perasaan melanggar perintah berkurung dengan terus mengadakan protes.

Kekurangan bekalan bahan api, makanan dan perubatan menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat sehingga mengakibatkan ribuan penduduk turun ke jalanan untuk mengadakan protes.

Penunjuk perasaan turut mendesak Gotabaya untuk melepaskan jawatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya