LIMA: Pendakwa raya Peru sedang menjalankan siasatan ke atas Presiden Pedro Castillo dan isterinya atas dakwaan memplagiat tesis sarjana.
Siasatan itu dibuat selepas sebuah stesen televisyen tempatan mendedahkan pasangan itu mungkin menciplak lebih separuh tesis sarjana yang dihasilkan secara bersama.
Rancangan Panorama yang disiarkan di Panamericana mengemukakan permohonan khas untuk mendapatkan teks tesis setebal 121 muka surat dan menyerahkannya kepada perkhidmatan pengesanan plagiat Turnitin.
Panorama mendedahkan Castillo dan isterinya, Lilia Paredes menciplak 54 peratus daripada hasil kerja individu lain.
Stesen televisyen itu juga mendakwa dua daripada tiga pakar yang mengesahkan tesis itu tidak wujud dalam senarai pendaftaran negara.
Castillo dan Paredes yang merupakan guru sekolah rendah, menggunakan tesis tersebut untuk ijazah sarjana muda dalam psikologi pendidikan dari Universiti Cesar Vallejo lebih sedekad lalu.
Ketika ini, siasatan sedang dijalankan oleh seorang pendakwa raya di Tacabamba.
Universiti Cesar Vallejo juga telah menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat dakwaan itu.
Castillo menafikan dakwaan menciplak tesisnya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai `berniat jahat’.
Beliau juga menegaskan tuduhan itu dibuat sebahagian rancangan untuk menentang kerajaan pimpinannya.