POKHARA: Pasukan penyelamat Nepal berjaya mengeluarkan 14 mayat penumpang dari bangkai pesawat yang terhempas selepas dilaporkan hilang semalam.
Pesawat kendalian Tara Air itu dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan beberapa minit sejurus berlepas sebelum didahkan terhempas.
Seramai 22 penumpang menaiki pesawat berkenaan ketika kejadian berlaku.
Terdahulu, pasukan penyelamat menemukan bangkai pesawat tersebut selepas lokasi nahas dikenal pasti dan imej bangkai kapal terbang itu turut dikongsi pihak berkuasa Nepal.
Imej tersebut dikongsi jurucakap tentera Nepal, Narayan Silwal menerusi Twitter yang menunjukkan serpihan badan pesawat bertaburan di kawasan pergunungan.
Bahagian sayap pesawat yang tertera nombor pendaftaran 9N-AET turut jelas kelihatan dalam imej tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pagi semalam selepas dihentikan buat sementara waktu berikutan cuaca tidak menentu dan keadaan gelap.
Terdapat 19 penumpang dan tiga kru menaiki pesawat jenis Twin Otter yang dikendalikan syarikat penerbangan Nepal, Tara Air ketika kejadian berlaku.
Penumpang itu termasuk dua rakyat Jerman dan empat warga India.
Sebelum bangkai pesawat ditemukan, jurucakap Lapangan Terbang Pokhara, Dev Raj Subedi berkata, pasukan penyelamat sudah dikerah untuk mengesan kedudukan pesawat itu selepas ia terputus hubungan sejuru berlepas.
Kapal terbang itu berlepas dari pekan Pokhara menuju ke Jomsom pada Ahad lalu kira-kira pukul 9.55 pagi waktu tempatan sebelum terputus hubungan 15 minit kemudian.
Kerajaan Nepal sebelum ini tidak mengesahkan kematian semua penumpang yang menaiki pesawat tersebut, namun berdasarkan keadaan bangkai pesawat, peluang menemukan mangsa hidup adalah tipis. – AFP










