SINGAPURA: Penyokong pendakwah Indonesia yang dilarang memasuki Singapura, mengancam untuk melancarkan serangan serupa seperti 9/11 ke atas republik tersebut.
Maklumat itu dikongsikan oleh Menteri Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam dalam satu sidang akhbar.
Shanmugam memberi contoh ancaman dimuat naik di laman Instagram yang antara lain menggelar Singapura sebagai `negara Islamofobia’ dan desakan mahu pemimpin republik itu memohon maaf kepada umat Islam dan rakyat Indonesia dalam tempoh 48 jam.
Pengguna akaun Instagram itu mengancam untuk mengusir Duta Besar Singapura ke Indonesia dan mengerahkan pasukan termasuk anggota kumpulan Barisan Pembela Islam (FPI) untuk menyerang republik itu seperti serangan 9/11 di New York pada 2001 sekiranya tuntutan mereka diabaikan.
Sejak itu, platform terbabit sudah memadam hantaran berkenaan dan menutup akaunnya kerana melanggar piawaian komuniti.
Ketika diminta mengulas sama ada rakyat Singapura perlu berasa bimbang, Shanmugam berkata, ancaman demikian tidak boleh dipandang ringan.
“Persamaan dilakukan dengan serangan 9/11, ia juga sedang dibuat dari aspek rakyat Singapura dipimpin oleh pemimpin bukan Islam dan republik itu patut diserang selain kepentingan warganya harus diserang.
“Jadi, saya tidak akan memandang ringan perkara tersebut,” katanya.
Pada 16 Mei lalu, Abdul Somad Batubara dan enam individu yang datang bersamanya, tiba di Terminal Feri Tanah Merah namun dilarang memasuki Singapura dan dihantar pulang ke Batam, Indonesia.
Kementerian Dalam Negeri Singapura menjelaskan larangan itu dikenakan terhadap Abdul Somad kerana didakwa menyebarkan ajaran ‘ektremis dan dasar pemisahan’ yang tidak diterima di republik ini.
Sementara itu, Shanmugam mendedahkan beberapa individu yang disiasat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri merupakan pengikut Abdul Somad termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan pada Januari 2020.
Katanya, remaja itu menonton ceramah Abdul Somad mengenai pengeboman bunuh diri di YouTube dan mula percaya sekiranya dia berjuang untuk negara Islam dan menjadi pengebom bunuh diri, dia akan mati syahid.