BALI: Beberapa penduduk mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan tandas terbuka kepada kenderaan yang lalu-lalang di Pelabuhan Gilimanuk, Jembrana, Bali.
Di depan pintu rumah penduduk terpampang sekeping kertas tertulis perkataan ‘Tandas’, lapor Kompas.com.
Seorang penduduk, Komang Ari Indrawan, 42, berkata, dia mendapat idea menyediakan tandas berikutan ramai pengguna tersangkut dalam kesesakan lalu lintas sehingga sukar mencari bilik air.
“Saya kasihan melihat anak-anak kecil dan wanita yang susah mencari tandas.
“Jalan sesak berlarutan cukup lama dan kebanyakan mereka menghabiskan waktu lebih lima jam di jalan raya,” katanya.
Komang berkata, pengguna jalan raya sangat berterima kasih dengan penduduk yang menyediakan tandas di rumah mereka.
Jelasnya, dia tidak menetapkan sebarang harga kepada pengguna yang ingin menggunakan tandas di rumahnya.
Namun, katanya, kebiasaannya mereka akan membayar lebih 2,000 rupiah (60 sen).
Sejak tandas itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, lebih 25 pengguna menggunakan tandas di rumah lelaki itu.