CALIFORNIA: Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) akhirnya mengumumkan terlibat dalam misi pencarian objek terbang tidak dikenal pasti UFO.
Jurucakap NASA mengesahkan pihaknya sedang menilai cara memberikan kepakaran dalam pemerhatian bumi berasaskan angkasa untuk meningkatkan pemahaman Fenomena Udara Tidak Dikenali (UAP) dan berunding dengan pelbagai entiti kerajaan.
Kenyataan itu menandakan satu lonjakan besar bagi pentadbiran yang sebelum ini menolak semua cadangan yang ada kaitan dengan objek terbang yang tidak dikenali.
Sumber memberitahu, projek itu mungkin termasuk pengumpulan bukti daripada mana-mana angkasawan yang menemukan objek tidak dikenali di angkasa, menyemak rakaman data serta membantu menyiasat sebarang penemuan anomali.
“Saya rasa ia akan menjadi gabungan usaha antara saksi pertama kejadian dan angkasawan NASA serta melibatkan semakan semula rakaman arkib sama ada terdapat beberapa penemuan dalam arkib NASA,” katanya lapor Daily Mail.
Sumber mendedahkan pasukan UFO Pentagon meminta rakaman daripada kamera menerusi beberapa misi angkasa lepas NASA sebagai sebahagian daripada penyiasatan mereka.
Sementara itu, Pegawai Kanan Komunikasi Sains NASA, Karen Fox berkata, pihaknya berunding dengan pelbagai entiti kerajaan mengenai cara menggunakan alat sains bagi memberikan penerangan tentang sifat dan asal usul fenomena udara yang tidak dikenal pasti.
Jelasnya, makhluk asing bukanlah satu-satunya penjelasan untuk fenomena aneh di langit.