BEIJING: Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar seorang wanita dalam keadaan bernyawa, dari bawah runtuhan bangunan di tengah China.
Wanita itu merupakan mangsa kesembilan yang berjaya diselamatkan dalam tempoh empat hari susulan insiden bangunan enam tingkat yang runtuh di bandar Changsha, wilayah Hunan.
Bangunan komersial yang menempatkan pangsapuri, hotel dan pawagam itu runtuh Jumaat lalu sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran yang membabitkan ratusan anggota kecemasan.
Penyiar CCTV memaparkan rakaman seorang mangsa dibawa keluar menggunakan pengusung.
Memetik laporan People’s Daily, wanita itu berada dalam keadaan sedar dan mampu berkomunikasi dengan pasukan penyelamat sebelum diselamatkan.
Terdahulu, agensi berita Xinhua melaporkan, mangsa kelapan yang terselamat merupakan seorang wanita dengan keadaan anggota badannya tersepit serpihan sehingga menyukarkan pasukan penyelamat mengeluarkannya daripada runtuhan tersebut.
Operasi SAR masih sedang dijalankan di lokasi kejadian.
Sekurang-kurangnya 14 orang dilaporkan masih terperangkap dalam runtuhan manakala 39 lagi gagal dikesan. – AFP