STRASBOURG: Negara-negara dibawah Kesatuan Eropah (EU) akan berhenti mengimport minyak dan produk ditapis dari Russia.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dalam rancangan sekatan pusingan keenam terhadap Moscow kerana melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.
“Dibawah rancangan sekatan itu, kami akan menghentikan bekalan minyak mentah Russia secara berperingkat dalam tempoh enam bulan manakala produk ditapis pula menjelang akhir tahun ini.
“Ini akan menjadi larangan import sepenuhnya ke atas semua minyak Russia sama ada melalui laut dan saluran paip, mentah dan ditapis.
“Saya sedar ia bukan mudah kerana beberapa negara anggota sangat bergantung pada minyak Russia, namun kita perlu berusaha untuk mencari pilihan lain,” katanya di Parlimen Eropah.
Menurut von der Leyen, cadangan sekatan itu memerlukan sokongan sebulat suara 27 anggota negara EU untuk melaksanakannya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan sekatan dikenakan ke atas bank terbesar Russia, Sberbank dan dua bank utama lain dengan menyekat akses dalam sistem pembayaran antarabangsa SWIFT. – REUTERS