JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memberi jaminan harga minyak masak di negara ini akan turun sehingga paras harga yang sewajarnya dalam tempoh dua minggu lagi.
Jokowi berkata, harga minyak masak untuk bagi pembungkusan secara pukal akan turun sehingga 14,000 rupiah (RM4.20) seliter dalam tempoh berkenaan.
“Insya Allah, dalam masa seminggu atau dua minggu lagi, harga minyak masak akan turun seperti biasa.
“Kerajaan sudah jumpa jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan harga minyak masak turun, sekali gus tidak membebankan rakyat,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com.
Selain itu, bekas Gabenor Jakarta itu juga menegaskan bahawa pihak berkepentingan akan terus melakukan pemantauan terhadap perkembangan bekalan dan harga minyak masak di negara ini.
Katanya, beliau sudah mengunjungi beberapa pasar dan mendapati harga minyak sekarang adalah sekitar 14,500 rupiah (RM4.35) seliter.
“Saya berharap dalam tempoh dua minggu akan datang, harga minyak dapat diturunkan lagi sedikit dan semua pasar perlu memberi kerjasama sepenuhnya,” ujar Jokowi.
Dalam pada itu, meskipun berjanji bahawa kerajaan akan menurunkan harga minyak masak pukal, Jokowi tidak memaklumkan sama ada harga minyak masak dalam paket akan diturunkan juga atau sebaliknya.
Ketika ini, minyak masak bungkusan dijual pada harga 25,000 rupiah (RM7.50) seliter.
Terdahulu, Ketua Pengarah Perdagangan Dalam Negeri di bawah Kementerian Perdagangan, Oke Nurwan menyatakan kerajaan ketika ini komited untuk memastikan bekalan dan harga minyak masak stabil untuk keperluan rakyat.
Jelasnya, semua sistem akan diperbaiki bagi memastikan masalah serupa tidak berulang pada masa depan.