BAITULMUQADDIS: Mahkamah Tinggi Israel membenarkan pengusiran kira-kira 1,000 penduduk Palestin dari sebuah kawasan di Tebing Barat untuk dijadikan tapak latihan tentera rejim Zionis itu.
Ia merupakan keputusan pengusiran terbesar sejak penjajahan Israel di wilayah Palestin yang bermula pada 1967.
Masafer Yatta, sebuah kawasan seluas 3,000 hektar di selatan bukit Hebron yang berada dibawah kawalan penuh Israel dan menempatkan beberapa perkampungan Palestin, ditetapkan sebagai `Zon Tembak 918′ oleh rejim Zionis pada 1980an.
Zon itu digunakan untuk latihan ketenteraan, justeru orang awam disekat daripada memasuki kawasan tersebut.
Konvenysen Geneva berkaitan layanan hak manusia ketika peperangan menyatakan pengambilalihan tanah diduduki bagi tujuan tidak memanfaatkan penduduk yang tinggal di kawasan itu atau memindahkan penduduk tempatan secara paksa, adalah menyalahi segi undang-undang.
Bagaimanapun, Israel menegaskan penduduk kampung Masafer Yatta yang tinggal di Zon Tembak 918 bukan penduduk tetap di kawasan itu apabila ia diisytiharkan sebagai tapak latihan tentera.
Justeru, Israel mendakwa penduduk berkenaan tidak mempunyai hak ke atas tanah tersebut.
Para hakim menerima hujah kerajaan negeri bahawa penduduk gagal membuktikan mereka merupakan penduduk tetap sebelum tahun 1980an, walaupun keterangan pakar dan kesusasteraan dikemukakan di mahkamah menunjukkan kawasan itu sudah didiami selama beberapa dekad.
Peguam hak asasi manusia, Micheal Sfard berkata, hakim juga menolak tuntutan bahawa `pemindahan secara paksa dilarang dibawah undang-undang antarabangsa’.
“Sebaliknya, hakim berkenaan menyifatkan peraturan itu sebagai `norma perjanjian’ yang tidak boleh dikuatkuasakan di mahkamah tempatan,” katanya.
Memandang keputusan para hakim adalah sebulat suara, justeru, tidak dapat dipastikan sama ada terdapat saluran undang-undang lain bagi penduduk dari lapan kampung Masafer Yatta untuk membuat rayuan.
Walaupun keputusan itu tidak memerintahkan pengusiran namun ia masih boleh memilih untuk berbuat demikian.
Israel kini boleh mengusir penduduk Palestin secara paksa pada bila-bila masa.
“Keputusan mahkamah merupakan keputusan berunsur perkauman yang dilakukan oleh hakim peneroka (David Mintz, yang tinggal di penempatan haram di Tebing Barat).
“Kami berjuang menerusi mahkamah selama 22 tahun untuk menentang usaha kerajaan rejim Zionis yang mahu mengusir penduduk Palestin.
“Namun, hakim ini mengambil masa lima minit sahaja untuk memusnahkan kehidupan penduduk 12 buah kampung yang bergantung pada tanah itu,” kata ketua kampung Masafer Yatta, Nidal Abdu Younis.
Kira-kira 18 peratus kawasan di Tebing Barat yang dijajah Israel diisytiharkan sebagai tapak latihan tentera rejim Zionis sejak 1970an.
Pada 1999, seramai 700 penduduk yang tinggal di kawasan `Zon Tembak 918′ telah diusir.
Namun, setelah Pertubuhan Hak Sivil di Israel (ACRI) memfailkan rayuan, mahkamah agung mengeluarkan injuksi membenarkan penduduk tersebut kembali menetap di kawasan itu sehingga keputusan muktamad dibuat oleh mahkamah tinggi.
Injuksi itu kekal sebagai status quo sehingga keputusan terbaharu dikeluarkan oleh mahkamah tinggi Israel itu.
Sementara itu, ACRI yang bersama penduduk Masafer Yatta dalam memfailkan petisyen menentang pengusiran itu memaklumkan keputusan tersebut akan membawa implikasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Mahkamah Tinggi secara rasmi memberi kuasa untuk mengusir seluruh keluarga bersama anak-anak dan orang tua mereka, tanpa bumbung tempat berteduh,” jelas ACRI dalam kenyataan. – AGENSI