NEW DELHI: Jabatan Meteorologi India (IMD) memaklumkan barat laut dan tengah India merekodkan suhu tertinggi bagi April dalam tempoh 122 tahun.
Menurut IMD, purata suhu maksimum pada April direkodkan pada 37.78 darjah Celsius sebagai yang tertinggi bagi kawasan tengah India.
Barat laut pula mencatatkan bacaan 35.9 darjah Celsius yang menghampiri 3.35 darjah Celsius melebihi suhu normal.
Ketua Pengarah IMD, Mrutyunjay Mohapatra berkata, suhu seluruh India adalah yang keempat tertinggi iaitu pada 35.05 darjah Celsius sejak 1901.
“Jika anda melihat suhu maksimum yang direkodkan di barat laut dan tengah India, ia adalah yang tertinggi dalam 122 tahun.
“Bahagian barat laut dan barat tengah India termasuk Gujarat, Rajasthan, Punjab dan Haryana, akan terus mengalami suhu melebihi normal pada bulan ini,” katanya dalam sidang akhbar.
IMD meramalkan suhu tertinggi akan direkodkan pada bulan Mei dan situasi itu menyebabkan orang ramai bukan hanya menempuh hari yang panas pada waktu siang, tetapi berkemungkinan turut mengalami keadaan lebih panas pada sebelah malam berbanding biasa.
Mohapatra berkata, purata hujan pada Mei tahun ini di seluruh India berkemungkinan besar melebihi purata biasa.
Jelasnya, suhu tinggi pada Mac dan April disebabkan aktiviti hujan berterusan yang sedikit.
Kebiasaannya, India mengalami hari paling panas pada Mac dalam tempoh 122 tahun lalu.-AGENSI