NEW DELHI: Ratusan komuniti Islam dari perkampungan nelayan menunggu kebenaran mahkamah untuk meluluskan euthanasia disebabkan halangan pentadbiran yang menyukarkan mereka mencari rezeki.
Presiden Persatuan Nelayan Islam Gosabara, Allarakha Ismailbhai Thimmar berkata, mereka tidak boleh meneruskan kehidupan jika tidak dapat menyara diri di negeri yang menempatkan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan kubu kuat parti Nasionalis Hindu, Bharatiya Janata.
Jelasnya, golongan nelayan berdepan diskriminasi sejak 2016 apabila diminta mengosongkan kawasan kampung dan diarah pergi ke daerah lain.
“Kami mempunyai lesen untuk bot dan menangkap ikan. Kami telah membuat petisyen kepada majistret, ketua menteri negeri dan pegawai lain, tetapi tiada siapa yang menjawab petisyen kami.
“Kami memfailkan petisyen di mahkamah tinggi dengan penuh kekecewaan bagi mendapatkan hak melakukan euthanasia kerana kami tidak boleh hidup seperti ini,” katanya lapor Arab News.
Euthanasia adalah cubaan membunuh diri yang dilarang di bawah Undang-Undang Jenayah India bahkan Islam juga melarang perbuatan tersebut.
Seramai 600 nelayan menetap di daerah Porbandar, negeri barat Gujarat, sejak 100 tahun lalu memfailkan Euthanasia minggu lalu.
Kampung Gosabar merupakan satu-satunya penempatan majoriti Islam dan mereka berdepan diskriminasi apabila tidak dibenarkan melabuhkan bot nelayan di kawasan itu sejak 2016.
Menurut Allarakha, masyarakat Hindu yang berjiran dengan Gosabara mempunyai lesen memancing yang sama seperti nelayan di kampungnya.
Bahkan, katanya, mereka dibenarkan pula melabuhkan bot serta mendapatkan hak dan kemudahan sama.
Majistret Daerah, Sharma berkata, masalah itu melibatkan isu teknikal dan tidak berkaitan dengan agama.
Mahkamah Tinggi Gujerat dijangka membuat keputusan tersebut pada minggu pertama Jun depan.