BAITULMUQADDIS: Pemimpin Hamas memberi peringatan kepada semua ahli kumpulan itu berada dalam keadaan siap-siaga kerana ‘pertempuran besar’ di Masjid Al-Aqsa dijangka bermula selepas Ramadan.
Situasi itu dilihat apabila Israel tidak menghentikan sebarang tindakan pencerobohan di masjid itu.
Yahya Sinwar berkata, tanggungjawab mempertahankan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu adalah terletak di bahu pejuang Hamas.
Beliau malah turut menyeru semua golongan lelaki dan wanita negara itu mempertahankan Al-Aqsa.
“Pertempuran melindungi Masjid Al-Aqsa akan bermula selepas Ramadan kerana Zionis mempunyai banyak sejarah cuba menceroboh masjid.
“Beribu-ribu rumah ibadat akan dicemari jika tindakan Zionis menyerbu Masjid Al-Aqsa berulang,” tegasnya.
Ketegangan semakin meningkat di willayah Palestin yang dijajah sejak beberapa minggu lalu.
Tentera Israel bertindak menyerang jemaah Palestin yang berada di dalam masjid semasa bulan Ramadan sehingga ada mangsa terkorban dan mengalami kecederaan.
Pencerobohan di kawasan masjid mengundang kecaman antarabangsa sehingga pejuang Hamas berjanji akan bertindak balas terhadap serangan itu.
Mengulas kesediaan rakyat Palestin sanggup mengorbankan nyawa mereka demi melindungi Masjid Al-Aqsa, pemimpin Hamas itu berkata, operasi syahid ketika serangan rejim Zionis membuktikan Israel ‘lebih lemah daripada sarang labah-labah.’
PUJI IRAN
Dalam perkembangan lain, Yahya memuji Kerajaan Iran kerana memberikan sokongan kepada penduduk Palestin terutamanya melibatkan Al-Aqsa.
“Republik Iran yang dipimpin oleh Ayatollah Seyyed Ali Khamenei dan Presidennya, Ebrahim Raeisi sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Al-Quds,” katanya.
Jumaat lalu, Ayatollah Khamenei menggesa umat Islam di seluruh dunia untuk memberi perhatian yang sewajarnya kepada Hari Quds Antarabangsa dan Al-Quds suci.
Katanya, selagi rejim Zionis merampas dan menguasai Al-Quds, setiap hari dalam setahun dianggap sebagai Hari Quds.
“Al-Quds yang suci adalah jantung Palestin dari sungai hingga laut,” kataya semasa meraikan Hari Quds Antarabangsa.
‘Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas’ adalah slogan yang sering dilaungkan semasa kempen pro-Palestin dari Sungai Jordan ke Laut Mediterranean.
KECAM ARAB
Dalam pada itu, Yahya mengecam negara Arab yang menormalisasikan hubungan dengan Zionis.
Katanya, rakyat Palestin mengutuk perjanjian tersebut yang digambarkan sebagai ‘tikam belakang’ dan pengkhianatan kepada perjuangan mereka.
Pada September 2020, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain menandatangani perjanjian normalisasi dengan Israel.
Maghribi dan Sudan turut mengikut jejak langkah sama dengan rejim Israel.
Pemimpin Kanan Palestin itu menggesa semua rakyat Palestin yang berada di seluruh dunia bersiap sedia untuk berarak menuju ke Masjid Al-Aqsa.
Beliau malah menggesa sekatan Israel di Semenanjung Gaza dihentikan segera berdasarkan undang-undang antarabangsa.-AGENSI