BERLIN: Puting beliung ‘Emmelinde’ melanda bandar Paderborn di negeri Rhine-Westphalia Utara, Jerman sejak kelmarin sehingga menyebabkan kerosakan besar.
Bencana yang menyebabkan bumbung kediaman tercabut, tingkap pecah dan pokok tumbang turut mencederakan 43 orang dengan sebahagian besar mangsa cedera parah.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang cedera parah sudah dibawa ke hospital.
“Seorang mangsa sedang bertarung nyawa selepas cedera akibat bencana itu,” katanya.
Pihak polis menganggarkan kerugian yang disebabkan puting beliung itu mencecah beberapa juta euro.
Bencana itu turut menyebabkan sebilangan kereta terbalik akibat ditiup angin kencang.
Jurucakap bomba berkata, Bandar Lippstadt yang terletak 30 kilometer dari Paderborn turut dilanda puting beliung.
Jabatan Meteorologi Jerman mengeluarkan amaran ribut dan meramalkan angin kencang mencecah kelajuan 130 km sejam di beberapa tempat.-AFP