GUWAHATI: Banjir kilat dan tanah runtuh di negeri Assam mengorbankan 25 orang dan menyebabkan 650,000 penduduk kehilangan tempat tinggal sejak 10 hari lalu.
Musim tengkujuh sering melanda Assam setiap tahun sehingga menyebabkan bencana alam yang memaksa penduduk meninggalkan rumah mereka.
Tebing sungai Brahmaputra yang merupakan antara sungai terbesar di dunia yang mengalir dari Tibet ke India dan Bangladesh pecah sehingga membanjiri 1,800 kampung dan 26 daerah bulan ini.
“Seramai 20 orang terbunuh dalam insiden berbeza akibat mati lemas dan lima yang lain maut akibat tanah runtuh,” kata Menteri Sumber Air Assam, Pijush Hazarika.
Bencana alam juga menyebabkan sebahagian laluan kereta api musnah teruk.
Pihak berkuasa sudah menyediakan 366 khemah perlindungan di 20 daerah, yang mampu menampung lebih 95,000 orang.-REUTERS











