KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk bertemu segera dengan Presiden Russia, Vladimir Putin bagi menamatkan peperangan yang berlaku.
Katanya, pihak yang bertanggungjawab memulakan peperangan itu juga perlu bertanggungjawab menamatkannya.
Zelensky turut menegaskan beliau tidak takut untuk bertemu Putin jika ia boleh menamatkan peperangan dan penderitaan rakyat Ukraine.
“Sejak awal lagi saya sudah tegaskan bahawa saya bersedia untuk berjumpa dengan Putin.
“Ini bukanlah kerana saya mahu bertemu dengan beliau, tetapi saya perlu lakukannya bagi menyelesaikan konflik yang berlaku secara diplomatik.
“Peperangan ini perlu dihentikan segera dan walau apa cara sekali pun, saya perlu bertemu dengan Putin,” ujarnya.
Terdahulu, Zelensky seolah ‘berkecil hati’ kerana Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bakal berkunjung ke Moscow terlebih dahulu dan bukannya ke Kyiv bagi mencari jalan penyelesaian mengenai peperangan yang tercetus.
Dalam pada itu, Zelensky juga memberitahu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dijadual melawat Kyiv hari ini. – AFP