Warga emas jalan kaki 22,000 km dari Venice ke Beijing

Warga emas jalan kaki 22,000 km dari Venice ke Beijing

VIENNA Cammarota akan `berjalan untuk keamanan’ sejauh 22,000 kilometer. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun memulakan pengembaraan epik dengan berjalan kaki dari Venice ke Beijing, mengikut laluan pedagang legenda Marco Polo di sepanjang Laluan Sutera (Silk Road). 

Memetik laporan The Guardian, Vienna Cammarota berlepas dari Venice semalam dan akan menempuh perjalanan sejauh kira-kira 22,000 kilometer (km).

Cammarota  akan berjalan melalui 15 negara dengan matlamat untuk tiba di Beijing pada Disember 2025.

Wanita itu sudah bergiat aktif dalam pengembaraan secara berjalan kaki selama lebih 30 tahun dan sebelum ini pernah mengembara ke Tibet, Palestin, Patagonia dan Madagascar dengan hanya berjalan kaki.  

Pengembaraan terbaharu Cammarota membabitkan perjalanannya melalui beberapa pekan zaman pertengahan di wilayah selatan Itali, Campania, Calabria dan Basilicata.

Cammarota dilaporkan akan mengembara ke Slovenia dari utara Itali sebelum menuju ke Crotia, Serbia, Bulgaria, Turki, Georgia, Iran Turkmenistan, Azerbaijan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Mongolia dan akhirnya China.

Apabila tiba di Beijing, Cammarota akan berusia 75 tahun.

Selain beg galas, wanita itu turut dilengkapi dengan sebuah kamera GoPro untuk merakam perjalanannya dan telefon pintar yang mempunyai aplikasi untuk memeriksa kesihatannya. 

“Saya akan melalui bentuk muka bumi dan cuaca yang amat berbeza di laluan merentasi negara di Eropah, Timur Tengah dan Asia.

“Akan ada situasi mencabar seperti berdepan kesejukan di Mongolia namun saya sudah bersedia,” katanya sebelum memulakan perjalanan.

Dilaporkan, Cammarota akan mengembara sambil membawa bendera Itali dan Ukraine sekaligus menggambarkan perjalanan itu sebagai `berjalan untuk keamanan’ sambil berusaha menyatupadukan penduduk’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN