YANGON: Mahkamah junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke atas Aung San Suu Kyi selepas mendapati pemimpin awam itu bersalah atas satu daripada 11 pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Lapor Al Jazeera, menurut laporan Reuters dan Associated Press yang memetik seorang sumber berkata, hukuman itu diumumkan di ibu kota Naypyidaw.
Perbicaraan dilakukan secara tertutup dan maklumat adalah terhad.
Berdasarkan laporan Reuters, hakim menjatuhkan hukuman tersebut sebaik sahaja mahkamah mula bersidang.
Keputusan itu membabitkan pertuduhan Suu Kyi menerima 11.4 kilogram (kg) emas dan rasuah wang tunai sebanyak AS$600,000 (RM2.6 juta) daripada bekas ketua menteri Yangon, Phyo Min Thein.
Beliau bagaimanapun menafikan pertuduhan itu dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai `tidak masuk akal’.
Suu Kyi, 76, ditahan sejak tentera Myanmar menggulingkan kerajaannya dan melakukan rampasan kuasa pada Februari tahun lalu.
Beliau didakwa atas 18 pertuduhan yang memperuntukan gabungan hukuman penjara hampir 190 tahun sekiranya didapati bersalah.
Sebelum ini, Suu Kyi dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dalam kes lain.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada beliau akan dipindahkan ke penjara.
Suu Kyi ditahan di lokasi rahsia yang mana ketua junta, Min Aung Hlaing memaklumkan beliau mungkin akan berada di sana selepas didapati bersalah atas tuduhan lain.