SHANGHAI: Pusat kewangan utama China, Shanghai akan terus melaksanakan perintah berkurung di bandar raya itu sehingga kes jangkitan Covid-19 terkawal.
Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng menegaskan perintah berkurung membabitkan 26 juta penduduknya tidak akan dilonggarkan sama sekali sehingga tiada lagi kes Covid-19 baharu dilaporkan di luar `kawasan kuarantin’.
“Semakin kritikal tempoh itu, semakin banyak usaha yang perlu kita lakukan,” katanya menerusi saluran WeChat rasmi kerajaan.
Sebanyak 218 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di luar kawasan kuarantin pada Jumaat, menurun berbanding 250 kes dicatatkan pada hari sebelumnya.
Shanghai mula melaksanakan perintah berkurung secara menyeluruh pada awal bulan ini meskipun ramai penduduknya sebelum itu sudah diarahkan kekal berada di rumah untuk tempoh yang lama.
Walaupun lebih sebulan perintah berkurung dilaksanakan, masih terdapat beberapa kawasan perumahan yang melaporkan kes baharu sekali gus mencetuskan keraguan mengenai keberkesanan strategi sifar Covid-19 China.
Sementara itu, penduduk Shanghai dilaporkan semakin tertekan di tengah-tengah pelaksanaan sekatan Covid-19 yang ketat di bandar raya tersebut.
Di media sosial, warganet berkongsi video bertajuk The Voice of April, sebuah montaj suara penduduk yang dirakam sepanjang tempoh perintah berkurung dilaksanakan.
Rakaman video itu memaparkan penduduk mengadu mengenai kekurangan makanan dan ubat-ubatan serta tindakan keras dilakukan oleh pihak berkuasa. – REUTERS










