RIYADH: Kerajaan Arab Saudi membenarkan sejuta jemaah membabitkan dari dalam dan luar negara untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi kenyataan memaklumkan jumlah jemaah dari luar yang dibenarkan untuk tahun ini akan mengikut kuota yang diperuntukan kepada setiap negara dan mengambil kira pematuhan semua kriteria penjagaan kesihatan.
Jelas kenyataan itu, musim haji tahun ini hanya terbuka kepada jemaah berusia 65 tahun ke bawah dan sudah menerima vaksin Covid-19 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Menurut kenyataan itu, jemaah haji dari luar negara perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan PCR Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas ke Arab Saudi.
“Kementerian Haji dan Umrah meminta semua jemaah mengikut peraturan kesihatan dan mematuhi langkah berjaga-jaga bagi melindungi diri mereka ketika menunaikan ibadah,” jelas kenyataan itu.