JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) melarang semua menterinya berdebat atau bercakap mengenai penundaan pilihan raya Presiden 2024 (Pemilu) dan lanjutan penggal presiden.
Beliau menasihatkan supaya barisan menteri fokus melakukan tugasan masing-masing dan jangan mencetuskan polemik mengenai isu berkenaan.
“Jangan timbulkan polemik dalam kalangan rakyat, sebaliknya fokuslah pada kerja, terutamanya menyelesaikan hal-hal berkaitan rakyat.
“Saya tidak mahu dengar lagi mana-mana pihak bercakap atau berdebat isu penundaan Pemilu dan lanjutan penggal presiden,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com.
Terdahulu, Jokowi menyampaikan kepentingan untuk jemaah menteri mempunyai tindak balas krisis dalam semua perkara.
Sebagai contoh, barisan menteri perlu bijak memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kenaikan harga minyak masak dan minyak mentah global.
Tegas beliau, para menteri perlu sensitif terhadap masalah yang dihadapi rakyat dan bukannya duduk berdiam diri.
“Jangan sampai rakyat fikir kita ini (kerajaan) tidak lakukan apa-apa untuk bantu mereka.
“Jangan biarkan rakyat beranggapan tiada komunikasi antara kerajaan dengan mereka, terutamanya dalam hal-hal berkaitan,” ujar Jokowi.
Sebelum ini, sejumlah menteri dan parti politik kecoh berdebat mengenai keputusan penundaan Pemilu dan lanjutan penggal perkhidmatan presiden.