Salah siapa Sri Lanka jadi muflis?

Salah siapa Sri Lanka jadi muflis?

sri lanka
PENUNGGANG motosikal dan pemandu kenderaan berbaris panjang untuk mengisi bahan api di stesen minyak di Colombo, Sri Lanka. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka menggesa warganya yang menetap di luar negara supaya ‘menghantar duit’ kepada kerajaan selepas Colombo mengumumkan negara ini tidak lagi mampu membayar hutang berjumlah AS$51 bilion (RM216 bilion).

Gabenor Bank Pusat, Nandalal Weerasinghe berkata, rakyat yang berada di luar negara perlu ‘menyokong dan menyumbang seberapa banyak duit yang boleh dalam mata wang asing kepada negara ini dalam kadar segera’.

Permohonan itu dibuat sehari selepas kerajaan memberi gambaran bahawa negara ini sudah muflis apabila menangguhkan semua pembayaran hutang luar negara.

Jelas Weerasinghe, beliau sudah menyediakan akaun bank untuk sumbangan tersebut di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, dan Jerman, selain memberi jaminan kesemua duit yang disumbangkan itu akan dibelanjakan untuk perkara terpenting.

“Penyaluran mata wang asing ke negara ini hanya digunakan untuk perkara penting termasuk mendapatkan bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan,” katanya.

Dalam pada itu, permohonan Weerasinghe itu disambut skeptikal oleh rakyat Sri Lanka yang menetap di luar negara.

Kebanyakannya menzahirkan rasa khuatir jika duit yang mereka hulurkan digunakan untuk tujuan lain, sekali gus tetap tidak menyelesaikan krisis yang berlaku.

“Kami tidak kisah untuk membantu, namun kami tidak boleh mempercayai kerajaan yang pegang duit kami,” kata seorang rakyat negara ini yang bekerja sebagai doktor di Australia.

Seorang lagi rakyat Sri Lanka yang bekerja sebagai jurutera di Kanada dan enggan mendedahkan identitinya memaklumkan, dia tidak mempunyai keyakinan bahawa duit yang disumbangkan akan dibelanjakan untuk keperluan rakyat.

“Duit ini boleh disalahgunakan sama seperti derma tsunami sebelum ini.

“Sumbangan bernilai jutaan dolar itu tidak sampai kepada mangsa tsunami, tetapi masuk poket ahli-ahli politik,” ujarnya.

Dalam kes tersebut, Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa didakwa mengarahkan duit sumbangan itu dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

 

KRISIS MERUNCING

Krisis ekonomi Sri Lanka bermula selepas pandemik Covid-19 menjejaskan pelbagai sektor di negara ini, termasuk pelancongan yang merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara.

Pada mulanya, Colombo mengenakan larangan import meluas bagi memulihara rizab mata wang asing yang semakin berkurangan dan menggunakannya untuk membayar hutang.

Namun, kekurangan bekalan makanan dan bahan api menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat, menyaksikan orang ramai beratur panjang setiap hari bagi mendapatkan bahan api untuk memasak.

Sekurang-kurangnya lapan orang maut ketika beratur mendapatka bahan api di seluruh negara pada bulan lalu.

Pakar ekonomi pula berpandangan, krisis ekonomi di negara ini di burukkan dengan cara pengurusan salah oleh kerajaan.

Parti pembangkang utama Sri Lanka, SJB kelmarin mendakwa semua ahli politik dalam kerajaan bertanggungjawab atas krisis yang berlaku dan mereka perlu diadili secara undang-undang.

Dek terlalu marah dengan situasi semasa, rakyat mula merusuh sehingga ada yang sanggup mengebom dan membakar rumah pemimpin kerajaan, menyaksikan polis terpaksa turun padang bagi meredakan keadaan.

Selain itu, desakan supaya Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan juga semakin bertambah dari semasa ke semasa.

 

MINTA RAKYAT BERSABAR

Dalam pada itu, Mahinda merayu kepada semua rakyat negara ini supaya bersabar ketika ribuan penduduk terus melancarkan protes membantah legasi pentadbirannya.

Menerusi ucapan pertamanya sejak krisis berlaku, Mahinda menegaskan beliau memerlukan lebih banyak masa untuk ‘membawa keluar negara ini daripada krisis yang berlaku’.

“Walaupun kita tidak boleh menghentikan krisis ini dalam tempoh dua atau tiga hari, kita tetap akan cuba selesaikannya dalam tempoh terdekat.

“Setiap minit yang dihabiskan anda untuk protes di jalanan, kita semakin kehilangan peluang untuk memulihkan negara ini.

“Perlu diingatkan, negara ini amat memerlukan kesabaran anda dalam saat genting ini,” ujarnya.

Enggan mengalah dengan desakan rakyat yang meminta pentadbiran yang dikuasai legasi keluarganya berundur, Mahinda tetap mempertahankan kerajaannya dan menuduh parti pembangkang enggan membentuk kerajaan pakatan.

“Kita sudah ajak mereka untuk bergabung namun ditolak, maka kita akan lakukan apa yang termampu dengan cara tersendiri.

“Pandemik Covid-19 juga menyebabkan krisis di Sri Lanka semakin teruk,” tegas beliau. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN