SINGAPURA: Rakyat negara ini mengambil peluang membeli-belah di Johor Bahru sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri disebabkan kadar pertukaran mata wang asing yang menyaksikan nilai ringgit lemah berbanding dolar Singapura.
Suasana di Johor juga meriah dengan kedatangan pelancong Singapura selepas pembukaan pintu sempadan antara kedua-dua negara, awal bulan lalu.
Pusat Beli Belah Angsana di Johor yang dahulunya menjadi ‘pekan mati’ selama dua tahun, kini bertukar meriah dengan kedatangan pengunjung dari negara seberang tambak.
Seorang pemilik perniagaan dari Singapura, Mohd. Firdaus Ismail berkata, dia memilih untuk membeli belah di Johor selepas mengetahui kadar pertukaran mata wang yang menggalakkan.
Minggu lalu, kadar pertukaran mata wang Singapura adalah 3.17 berbanding ringgit Malaysia, yang meningkat dari 3.10 sejak awal April lalu.
“Bila dapat tahu kadar pertukaran itu, saya terus tukar duit di Singapura dan memohon cuti untuk membawa keluarga membeli belah dan berbuka puasa di sana.
“Harga baju dan biskut raya yang dibeli di Angsana jauh lebih murah berbanding di Geylang atau Kampung Glam,” katanya lapor Channel News Asia.
Pengunjung Singapura lain, Nora turut memberikan alasan sama kedatangannya ke sini bagi mencari lemang.
“Susah nak cari lemang di Singapura, jadi saya bersyukur dapat datang ke sini,” katanya.
REZEKI PENIAGA JOHOR
Penjual biskut raya, Suhaiza Ibrahim berkata, dia masih ingat situasi dua tahun lalu semasa pintu sempadan Malaysia dan Singapura ditutup.
Ketika itu, katanya, kawasan koridor di pusat beli belah ini lengang dan premis perniagaan banyak ditutup.
Kini, dia sudah boleh menarik nafas lega selepas suasana bertukar meriah sekelip mata dan perniagaannya kian laris dari malam sampai ke siang.
“Saya sampai tidak boleh lagi menerima tempahan biskut raya kerana stok sudah tidak mencukupi.
“Permintaan kali ini, benar-benar di luar jangkaan. Kedai saya di Angsana ini akan dikunjungi 70 pelanggan dari Singapura.
“Saya berasa sangat gembira sekarang kerana pintu sempadan sudah dibuka semula dan pengunjung dapat datang lagi ,” katanya.
Suhaiza menjual pelbagai kuih dan biskut raya seperti popiah serunding dan kuih makmur sehingga hasil jualannya meningkat dua kali ganda daripada tahun lalu.
Tinjauan wartawan CNA mendapati pelanggan terpaksa beratur panjang sebelum dapat memasuki premisnya.
Selain biskut raya, perniagaan lain yang diusahakan peniaga di pusat beli belah itu mencatatkan keuntungan luar biasa bulan ini selepas menerima kehadiran pelancong Singapura.