TEHERAN: Ratusan wanita warga Iran dilarang memasuki sebuah stadium di negara itu, bagi menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Malah, wanita berkenaan didakwa diserang menggunakan semburan lada di luar stadium Imam Reza di bandar timur laut Mashhad, Selasa lalu.
Lapor Daily Mail, rakaman video yang tular dalam talian menunjukkan ramai wanita tercekik dan menangis selepas terkena semburan yang mengakibatkan alahan pada mata susulan kejadian itu.
Agensi berita ISNA melaporkan kira-kira 2,000 wanita membeli tiket untuk menyaksikan Iran menentang Lubnan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 terakhir di negara itu.
Namun sebaik sahaja tiba, wanita berkenaan dihalang masuk sebelum petugas keselamatan stadium didakwa menggunakan semburan lada untuk menyuraikan golongan tersebut.
Dalam video tersebut, ratusan peminat bola sepak wanita dilihat melaungkan kemarahan mereka selepas disekat daripada menyaksikan perlawanan berkenaan.
Beberapa wanita dilihat cuba membuka pintu pagar stadium manakala seorang lelaki sedang membantu gadis yang terkena semburan lada itu.
Insiden mengejutkan itu berlaku selepas bekas Presiden Iran, Hassan Rouhani berjanji kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), 2018 untuk melakukan pembaharuan secara berperingkat.
Setahun kemudian, badan induk bola sepak global itu mengancam untuk menggantung Iran sekiranya tidak membenarkan wanita hadir menyaksikan perlawanan.
Amaran itu dibuat selepas insiden seorang wanita di Iran dibicarakan hanya kerana menghadiri perlawanan bola sepak dengan menyamar sebagai lelaki.
Wanita itu dilaporkan meninggal dunia selepas membakar dirinya di luar bilik mahkamah kerana berasa takut akan dikenakan hukuman penjara.
Sebelum ini, Iran bersetuju untuk membenarkan wanita menyaksikan sukan kebangsaan di stadium Azadi di Teheran.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada larangan itu sudah ditarik balik di seluruh negara.