Presiden Sri Lanka didesak letak jawatan segera untuk selamatkan negara

Presiden Sri Lanka didesak letak jawatan segera untuk selamatkan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Keadaan di Sri Lanka terus huru-hara apabila ribuan penunjuk perasaan melancarkan protes untuk mendesak Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan segera.

Kumpulan penunjuk perasaan yang membanjiri kawasan utama di bandar raya ini menegaskan Rajapaksa dan keluarganya ‘langsung tidak boleh dipercayai’ untuk membantu negara ini keluar daripada kemelut ekonomi terburuk.

Lapor Al-Jazeera, protes itu disertai golongan guru, pelajar, peguam, selebriti dan arkitek yang kebanyakannya menyatakan itu adalah kali pertama mereka melancarkan demonstrasi.

Kumpulan itu turut melaungkan slogan ‘Gota orang gila’ dan ‘Gota sila berundur’ yang merujuk kepada presiden negara ini.

Cuaca panas juga tidak menghalang penunjuk perasaan menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan dan masalah yang berlaku ketika ini.

“Ini soal hidup dan mati kami. Buat pertama kali, semua lapisan masyarakat bersatu menyertai tunjuk perasaan menentang kerajaan yang secara jelas gagal.

“Kami tidak mahu ada pemimpin yang hanya susahkan rakyat dan menjadikan negara ini semakin teruk,” kata seorang peserta protes, Buddhi Karunatne.

Rajapaksa, 72, memenangi jawatan presiden pada 2019 apabila partinya memperoleh majoriti dua per tiga kerusi Parlimen.

Kemenangan itu membolehkan Rajapaksa melantik abangnya, Mahinda Rajapaksa sebagai perdana menteri dan meminda Perlembagaan untuk mengukuhkan kuasa presiden.

Rajapaksa turut melantik ahli keluarganya memegang jawatan penting dalam Kabinet petadbirannya, termasuk kewangan, agrikultur dan sukan.

Ketika itu, rakyat yakin pimpinan Rajapaksa mampu memajukan Sri Lanka.

Namun, harapan rakyat meleset apabila Rajapaksa gagal membangunkan Sri Lanka, selain disifatkan gagal membuat keputusan yang baik.

“Beliau tidak mempunyai otak untuk uruskan masalah negara,” ujar seorang lagi penunjuk perasaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN