SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison hari ini mengumumkan pilihan raya umum negara itu akan berlangsung pada 21 Mei depan.
Sehubungan itu, beliau komited untuk mengekalkan kuasa di sebalik tiga tahun yang dipenuhi dengan pelbagai insiden termasuk banjir, kebakaran hutan dan pandemik Covid-19.
Namun, kerajaan konservatif pimpinan Morrison dijangka sukar untuk meraih undian 17 juta pengundi di negara ini, selain ketinggalan di belakang pembangkang, Parti Buruh dalam beberapa tinjauan pendapat yang dilakukan.
“Pilihan raya kali ini adalah mengenai anda. Hanya anda dan ia tentang negara kita serta masa depannya.
“Saya tahu rakyat negara ini berdepan tempoh yang sukar dan keadaan itu mungkin berlaku untuk beberapa tahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar.
Parti Buruh yang dipimpin Anthony Albanese akan berjuang untuk mengakhiri penguasan Parti Liberal Nasional selama hampir 10 tahun dalam kerajaan Australia. – AFP