LONDON: Golongan bukan Islam di seluruh dunia mengambil bahagian dalam cabaran Ramadan sebagai tanda solidariti bersama masyarakat Islam menentang Islamofobia.
Usaha itu juga dibuat bagi memupuk toleransi agama dan meningkatkan kefahaman terhadap Islam.
Cabaran Fast for Unity disertai oleh penduduk di 25 negara dan ‘Cabaran Hijab Ramadan 30 Hari’ dicetuskan oleh Organisasi Hari Hijab Sedunia.
Kumpulan bukan berasaskan keuntungan (NGO) itu menganjurkan program tersebut bagi menangkis diskriminasi terhadap umat Islam di serata dunia.
Jelas NGO itu, cabaran berpuasa mengajak golongan bukan Islam berpuasa selama sehari, 10 atau 30 hari bagi merasai sendiri pengalaman orang Islam berpuasa.
“Semasa berpuasa, mereka akan melatih diri berdisiplin dan muhasabah diri sekali gus menentang Islamofobia,” katanya kepada Arab News.
Cabaran itu turut disertai oleh penyanyi Britain, Kate Stables yang memuat naik pengalamannya berpuasa dalam Instagram.
Katanya, ini adalah tahun kedua dia berpuasa dan mempelajari banyak perkara sepanjang menjalani aktiviti itu.
“Inisiatif #FastForUnity bertujuan menangkis fahaman Islamofobia dan bersama-sama menyertai komuniti tanpa mengira agama atau perbezaan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, cabaran bertudung atau dikenali sebagai #Hijab30 dilancarkan sejak 2014.
Cabaran itu mengajak semua golongan wanita tanpa mengira latar belakang etnik untuk bertudung selama 30 hari sekali gus menghentikan diskriminasi terhadap golongan wanita yang bertudung serta menghormati pilihan masing-masing.
Organisasi di sebalik cabaran ini diasaskan di New York pada 2013, yang menganjurkan Hari Hijab Sedunia pada setiap 1 Februari setiap tahun.