BAITULMUQADDIS: Penduduk Palestin menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh keceriaan termasuk berbagai hiasan lentera dan lampu warna-warni menghiasi sekitar pekarangan Al Aqsa di Baitulmuqaddis.
Mereka juga berharap agar tahun ini dapat menikmati Ramadan yang tenang dan penuh kesyukuran walaupun ketegangan politik semakin memuncak di Baitulmuqaddis.
“Semoga Ramadan kali ini lebih baik, tenang dan tiada sebarang masalah berbanding tahun lalu,” kata seorang penduduk kota lama Baitulmuqaddis, Fatima Diab.
Pada Ramadan tahun lalu, pertempuran tercetus antara penduduk Palestin dan polis Israel di Baitulmuqaddis Timur hampir setiap malam.
Konflik antara Israel-Palestin selama 11 hari mengorbankan lebih 250 penduduk Palestin di Gaza dan 13 orang di Israel.
Penduduk Palestin melaporkan peningkatan keganasan di sekitar Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur sejak tahun 1967.
Israel menguasai Tebing Barat daripada Jordan selepas Perang Enam Hari pada 1976.
Sejak itu, rejim Yahudi mula membina penempatan haram di seluruh wilayah tersebut.
“Baitulmuqaddis sedang berdepan situasi politik yang sukar disebabkan konflik berterusan dengan penduduk Palestin dan peneroka Israel,” kata seorang penduduk di kota lama, Amar Seder.
Amar berharap agar perhiasan itu dapat membawa kegembiraan kepada orang ramai pada masa ini.
Selepas pelaksanaan sekatan Covid-19 selama dua tahun, para penduduk turut berharap agar akses ke kawasan suci itu dipermudahkan. – REUTERS/AFP