LONDON: Pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden didakwa merancang serang keganasan kedua yang menyasarkan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh tiga tahun selepas melancarkan serangan 11 September 2001.
Berdasarkan dokumen yang dikumpul oleh pihak berkuasa AS dan disiarkan CBS News, Osama didakwa mahu melancarkan serangan keganasan kedua menggunakan ‘kaedah yang sama seperti serangan 11 September’, namun menggunakan jet peribadi dan bukannya pesawat penumpang.
Pelan serangan itu dikenal pasti oleh pakar keganasan, Nelly Lahoud ketika beliau menganalisis kesemua dokumen yang dikumpul.
Jelas Lahoud, Osama mahu mensabotaj sejumlah landasan kereta api di AS bagi menyebabkan ‘malapetaka yang melibatkan jumlah korban tinggi’.
Katanya, Osama masih berhubung dengan al-Qaeda dan merancang untuk melakukan serangan kedua tersebut ketika dia dalam persembunyian selepas insiden 11 September.
“Osama mahu landasan kereta api dialihkan dan keadaan itu akan menyebabkan tren tergelincir sehingga menyebabkan kematian besar.
“Selain itu, Osama juga mempunyai idea untuk meletupkan bot-bot nelayan di beberapa pelabuhan di seluruh AS bagi menjejaskan ekonomi negara tersebut,” katanya seperti yang dilaporkan Arab News.
Hampir 3,000 orang maut dalam serangan 11 September yang mengejutkan seluruh dunia.