SINGAPURA: Seramai lima peguam pelatih didapati menipu dalam peperiksaan kelayakan profesion guaman pada 2020.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara (AGC) berkata, Peguam Negara sedang mempertimbangkan permohonan mereka untuk menjadi peguam susulan insiden memalukan itu.
Peguam Negara berpandangan, pemohon tersebut tidak layak dan sesuai untuk diterima sebagai Peguam Bela serta Peguam Cara Mahkamah Agung Singapura pada ketika ini.
“Ini kerana salah laku mereka menunjukkan perbuatan itu tidak melambangkan ciri-ciri kejujuran dan kewibawaan yang mesti dimiliki oleh setiap peguam,” katanya.
Minggu lalu, permohonan enam pelatih lain untuk menjadi peguam juga terpaksa ditangguhkan.
Peguam Negara menolak permohonan tersebut kerana mereka didapati menipu dalam peperiksaan dua tahun lalu.
Ini merupakan kali pertama Peguam Negara menolak permohonan untuk menjadi peguam atas sebab calon menipu dalam peperiksaan.
Di akhir tempoh penangguhan itu, semua pemohon berkenaan dikehendaki memfailkan afidavit bagi membuktikan alasan mereka dianggap ‘layak dan sesuai’ untuk menjadi seorang peguam.










