Kyiv sedia bertempur dengan Moscow di timur Ukraine

Kyiv sedia bertempur dengan Moscow di timur Ukraine

PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelensky mengiringi Perdana Menteri Britain, Boris Johnson ketika beliau melawat Kyib sebagai tanda solidariti. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRAMATORSK: Ukraine bersiap sedia untuk menghadapi ‘pertempuran besar’ dengan Rusia di timur negara ini ketika ribuan penduduk awam melarikan diri bagi mengelak lebih banyak insiden tidak diingini berlaku.

Proses pemindahan penduduk dimulakan semalam dari Kramatorsk selepas serangan peluru berpandu mengorbankan 52 orang di sebuah stesen kereta api.

Sehubungan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan Kyiv sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan tentangan Moscow.

“Kami sudah bersedia untuk bertempur habis-habisan dan komited untuk mengakhiri peperangan ini menerusi diplomasi,” katanya.

Penasihat Zelensky, Mykhaylo Podolyak menyatakan Ukraine ‘perlu mengalahkan Rusia’ di wilayah Donbas yang selama ini dikuasai Rusia.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan sebelum Zelensky mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk mengadakan rundingan damai.

“Ukraine sudah cukup bersedia untuk pertempuran besar dan sengit. Ukraine perlu memenangi pertempuran dengan Rusia, termasuk di Donbas.

“Selepas sahaja Ukraine menang, barulah Zelensky boleh mengadakan pertemuan dengan Putin,” ujarnya seperti yang dilapor Interfax.

Enam minggu selepas menyerang Ukraine, Rusia kini menukar strategi serangan dengan menumpukan kawasan di timur dan selatan negara ini.

Sementara itu, Zelensky memuji Britain yang ‘tidak jemu menghulurkan bantuan ketenteraan’ kepada Ukraine.

Beliau juga berharap negara Barat boleh mencontohi Britain.

“Kita perlu mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Rusia dan Ukraine juga perlukan lebih banyak senjata.

“Terima kasih Britain kerana sering membantu Ukraine dalam penyaluran senjata bagi menentang Rusia,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengadakan pertemuan dengan Zelensky di Kyiv. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN