TOKYO: Sebuah kafe unik di Jepun dibuka khas untuk golongan penulis yang mengejar dateline kerja mereka.
Manuscript Writing Café yang terletak di Koenji, Tokyo memberi motivasi dan bantuan diperlukan bagi memastikan golongan itu mampu memenuhi tarikh akhir kerja yang ditetapkan.
Lapor Oddity Central, kafe itu hanya mengalu-alukan penulis yang mengejar masa untuk menyiapkan bahan penulisan mereka.
“Manuscript Writing Café hanya membenarkan individu yang mengejar tarikh akhir bahan penulisan untuk dihadapi.
“Ia demi mengekalkan tahap tumpuan dan suasana tegang di dalam kafe. Terima kasih kerana memahami,” kata pemiliknya, Takuya Kawai menerusi ciapan Twitter.
Kafe yang baru dibuka beberapa hari lalu mengenakan bayaran kepada pelanggan mengikut masa digunakan.
“Sebanyak 150 yen (RM4.99) dikenakan bagi setiap 30 minit,” jelas laporan itu.
Kafe itu turut dilengkapi dengan beberapa kemudahan termasuk port USB dan WiFi percuma.
“Penulis juga dibenarkan membawa makanan serta minuman sendiri atau boleh dihantar ke kafe memandangkan hanya kopi dan air sahaja disediakan,” jelas laporan itu.
Kafe itu membenarkan pelbagai penulis daripada penterjemah, penulis salinan, penulis novel sehingga pembaca pruf dan peraturan adalah sama bagi semua individu berkenaan.
“Beberapa peraturan harus dipatuhi ketika memasuki kafe ini, pertama anda harus memaklumkan kepada pekerja mengenai jumlah perkataan yang mahu ditulis dan masa ditetapkan untuk menyiapkan artikel tersebut.
“Setiap jam seorang pekerja akan datang menyemak kerja anda dan membantu memberi motivasi kepada anda untuk menyiapkannya dalam masa diberikan.
“Penulis tidak dibenarkan menamatkan sesi mereka sehingga mencapai matlamat tersebut atau kafe ditutup,” jelas laporan itu.










