TOKYO: Jepun mengesahkan kes pertama varian Omicron XE melibatkan seorang wanita yang tiba di lapangan terbang Narita, Tokyo pada 26 Mac lalu.
Agensi Berita Kyodo melaporkan wanita berusia dalam lingkungan 30an itu tinggal di Amerika Syarikat dan tidak menunjukkan sebarang gejala ketika tiba di lapangan terbang.
Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan berkata, wanita yang tidak dinyatakan kewarganegaraannya sudah menerima dua suntikan vaksin Pfizer, tetapi disahkan positif varian itu ketika menjalani ujian saringan di lapangan terbang.
Wanita itu kemudian menerima rawatan di pusat kesihatan sebelum dibenarkan keluar setelah tempoh kuarantin tamat.
Strain XE merupakan gabungan subvarian BA.1 dan BA.2 Omicron.
Menurut laporan, kadar kebolehjangkitan varian itu adalah sebanyak 12.6 peratus lebih cepat berbanding BA.2, meskipun butiran lanjut mengenai varian baharu itu belum diketahui.










