KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Rusia mahu ‘memusnahkan’ keseluruhan wilayah Donbas, ketika pasukan tentera negara ini mahu berjuang habis-habisan mempertahankan bandar Mariupol.
Moscow sebelum ini mendakwa tenteranya berjaya menawan Mariupol di selatan Ukraine selepas pertempuran sengit dengan tentera Ukraine.
Rusia selepas itu menawarkan tentera Ukraine yang sudah dikepung sepenuhnya supaya menyerah kalah atau ‘nyawa mereka akan melayang’.
Namun, Ukraine enggan menyerah kalah dan menegaskan pasukan tentera di Mariupol akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Ukraine juga menggesa semua penduduk di Donbas untuk berpindah ke kawasan selamat selepas Rusia dijangka melancarkan serangan besar-besaran terhadap wilayah itu.
“Pasukan tentera Rusia bersiap sedia untuk melancarkan operasi besar-besaran di timur negara kita dalam tempoh terdekat.
“Mereka mahu menghancurkan keseluruhan Donbas,” kata Zelensky dalam satu kenyataan.
Selain itu, Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal menolak dakwaan Rusia bahawa mereka sudah menawan Mariupol.
“Bandar itu belum jatuh ke tangan musuh. Tentera kami masih berada di sana dan mereka akan berjuang habis-habisan.
“Kami sesekali tidak akan mengalah dan Rusia perlu tahu hal ini,” katanya.
Shmyhal mengakui hampir kebanyakann bandar sudah dikepung tentera Rusia, namun tiada satu pun sudah jatuh ke tangan Rusia, kecuali bandar Kherson di selatan Ukraine.
Sementara itu, Gabenor Lugansk, Sergiy Gaiday memaklumkan, beberapa minggu akan datang merupakan ‘tempoh paling sukar’.
Katanya, penduduk awam perlu segera keluar dari wilayah itu jika mempunyai peluang atau mereka tidak dapat diselamat. – AFP