JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) meminta orang ramai tidak membuat perbandingan suasana ketika pulang ke kampung dengan menonton perlumbaan kejuaaraan dunia MotoGP.
Lapor Kompas.com, kekecohan itu timbul selepas orang ramai tidak berpuas hati dengan polisi kerajaan yang menetapkan syarat dos penggalak vaksin Covid-19 semasa pulang ke kampung di musim perayaan nanti.
Jokowi berkata, ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan penyebaran jangkitan Covid-19 semasa pergerakan pulang 79 juta orang ramai di Hari Raya Aidilfitri.
“Jangan banding bezakan sebab MotoGP hanya dihadiri oleh 60,000 penonton berbanding 79 juta rakyat yang akan pulang ke kampung,” katanya.
Menurut Jokowi, pihak kerajaan sangat berhati-hati dalam melakukan penelitian menguruskan polisi semasa pulang ke kampung.
Disebabkan itu, jelasnya, hanya individu yang sudah menerima dos penggalak dan dua dos vaksin sahaja dibenarkan pulang ke kampung.
Dalam pada itu, bekas Datuk Bandar Solo berharap orang ramai sentiasa mengamalkan protokol kesihatan semasa melakukan perjalanan pulang ke kampung.
Katanya, langkah itu bagi memastikan virus Covid-19 tidak merebak dan tersebar lagi.